Seramai 26 orang pelajar telah mendapat Straight A dalam semua
matapelajaran SPM 2012.Keputusan ini telah diumumkan oleh Tuan Pengetua
Cemerlang En. Karim Bin Bayok pada Jam 12:30 Tengahari bertempat di dewan
gemilang. Terdapat matapelajaran yang menunjukkan peningkatan antaranya
Matematik, Bahasa Melayu, Lukisan Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan.
Secara keseluruhannya SBPI Selandar menduduki tempat ke2 peringkat negeri
Melaka dan mendapat 3 anugerah daripada Jabatan Pelajaran Melaka. Tahniah kepada semua pelajar yang telah
berjaya dan ribuan terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang telah
sama-sama berusaha untuk mencapai keputusan yang sangat membanggakan ini. Tidak
lupa juga, ribuan terima kasih diucapkan kepada PIBG yang banyak memberi
sokongan dan kerjasama dalam mencapai kejayaan ini.
MESYUARAT AGUNG PIBG, MAJLIS KESYUKURAN SBT, HARI KELUARGA SBP & ASRAMA TERBUKA 2013
Pada 2-03-2013 SBPI Selandar telah
mengadakan program 4 dalam 1, iaitu Mesyuarat Agung PIBG, Majlis
Kesyukuran mendapat penganugerahan SBT, Sambutan Hari Keluarga & Asrama Terbuka. Majlis ini diadakan bagi menghargai jasa warga SBPIS
serta rasa Syukur Kehadrat Ilahi kerana sekolah ini telah berjaya mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort
3/2012 pada 27 Disember 2012, selain itu untuk mengeratkan
hubungan silaturahim antara warga SBPIS dan ibu bapa serta ahli
keluarga SBP. Majlis Kesyukuran telah di rasmikan oleh Yang Berbahagia Tn Hj Md. Kasim b Md Noah, Timbalan Pengarah Bahagian
Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian
Pelajaran Malaysia. Beberapa aktiviti telah diadakan seperti Gimik Pasukan Rugby dan Pengakap SBPIS yang merupakan ETOS atau watak
sekolah bagi SBPI Selandar, aktiviti seterusnya perasmian Majlis Kesyukuran
SBT, Hari Keluarga dan Asrama Terbuka SBPIS tahun 2013, majlis penyerahan
replika cek dan penyampaian hadiah bagi keluarga SBPIS serta Asrama Terbaik,
persembahan pelajar iaitu silat berirama, Kalam Jamaie (choral speaking) dalam
Bahasa Arab, Tarian Zapin, Pengucapan awam dalam Bahasa Mandarin dan Tarian
Jepun, Band dan Nasyid serta cabutan bertuah dan
lain-lain.
KEJOHANAN RAGBI DAERAH JASIN
Pada 20
Februari hingga 26 Februari yang lepas,
Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar telah menyertai Kejohanan Ragbi
Bawah 18 Tahun Peringkat Daerah Jasin di SMK Dang Anum, Merlimau. Seramai 25
orang pemain telah didaftarkan sebagai pemain SBPIS untuk menggalas
tanggungjawab yang diamanahkan oleh pihak sekolah. Antara sekolah yang
menyertai kejohanan termashyur ini ialah SMK Dang Anum selaku tuan rumah,
Sekolah Teknik Jasin dan MRSM Tun Ghaffar Baba. Perlawanan pertama SBPIS telah
berlangsung pada pukul 3.30 petang. Pada
perlawanan tersebut, SBPIS telah berjaya mengalahkan MRSM TGB dengan jumlah
pungutan mata 17-7. Pada perlawanan kedua pula, SBPIS telah berjaya mengalahkan
Sekolah Teknik Jasin dengan pungutan mata 71-0. Perlawanan ketiga bersambung
pada keesokan harinya diantara SBPIS dan musuh tradisi, SMK Dang Anum. Pada
perlawanan tersebut, SBPIS telah berjaya mengalahkan SMK Dang Anum dengan 27-0
sekaligus melayakkan SBPIS dinobat johan kumpulan. Pada peringkat separuh
akhir, SBPIS telah menentang Sekolah Teknik Jasin dengan pungutan mata sebanyak
30-6. Pada perlawanan akhir, SBPIS telah sekali lagi bertemu dengan musuh
tradisi, SMK Dang Anum. Perlawanan akhir ini sangat sengit dan SBPIS telah
berjaya mengalahkan SMK Dang Anum dengan perlawanan yang sungguh dramatik.
MERENTAS DESA 2013
Pada 26
Februari 2013, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar telah menganjurkan pertandingan merentas desa
peringkat sekolah. Semua pelajar diwajibkan menyertai pertandingan tersebut
tetapi terdapat beberapa pelajar yang tidak dapat menyertai pertandingan
tersebut kerana sebab-sebab yang tertentu. Pelajar dibenarkan pulang ke asrama
pada jam 12.30 tengah hari.Tepat jam
2.15 petang,para pelajar telah berkumpul di padang sekolah mengikut rumah sukan
masing-masing. Pelajar dilepaskan mengikut kategori masing-masing. Terdapat
empat kategori iaitu perempuan bawah 15 dan bawah 18 tahun serta lelaki bawah
15 dan 18 tahun. Semua pelajar berlari dengan penuh bersemangat bagi mengumpul
mata rumah sukan masing-masing . Larian tersebut berakhir pada jam 4.30 petang.
Bagi johan kategori lelaki bawah 15 dan 18 tahun telah dirangkul oleh rumah
Telekom manakala bagi kategori perempuan bawah 15 tahun telah berpihak pada
rumah sukan Modenas.Kategori terakhir iaitu perempuan bawah 18 tahun telah
dijuarai oleh rumah sukan Proton.Berita yang menggembirakan bagi pihak rumah
Telekom apabila diumumkan sebagai juara keseluruhan sekali gus mengekalkan
sedekad kejuaraan bagi acara merentas desa.
MAJLIS PELANTIKAN PSS, PRS DAN MPP 2013
Pada 18 Februari 2013 bertempat di Dewan Gemilang telah
diadakan Majlis Pelantikan Pengawas Pusat Sumber(PSS), Pusat Akses dan
Pembimbing Rakan Sebaya(PRS) serta Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) SBP Integrasi
Selandar. Seramai 40 orang pelajar telah dilantik dalam majlis tersebut. Objektif
pelantikan ini ialah untuk melatih para pelajar memikul tanggungjawab dan
amanah yang diberi serta membantu para guru. Setiap organisasi mempunyai ketua mereka masing-masing. Ketua
PSS ialah Badrul Amin bin Abd. Razak , ketua Pengawas Pusat Akses ialah
Muhammad Ashraf bin Md.
Nor manakala Muhamad Aiman bin Suhaizi telah dilantik menjadi ketua PRS.
Jawatan presiden MPP telah disandang oleh Muhammad Zaid bin Tirmizi manakala
timbalannya ialah Fazidatul Nadhirah binti Aziz. Pelantikan itu diserikan lagi
dengan lafaz ikrar. Para pelajar yang dilantik
diharap dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh berdedikasi
setelah melafazkan ikrar tersebut.
Subscribe to:
Posts (Atom)