Majlis Perjumpaan Ibubapa Murid Tingkatan 3 & 5


25 Julai 2014 - SBPIS telah mengadakan Majlis Perjumpaan Ibubapa Murid Tingkatan 3&5 yang merupakan calon peperiksaan PT3 dan SPM tahun ini. Majlis perjumpaan tiga hala ini melibatkan semua calon peperiksaaan PT3 dan SPM, ibubapa dan guru-guru. Ibubapa hadir seawal jam 9.00 pagi dan bertemu guru kelas untuk mengambil slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan berbincang dengan guru-guru subjek tentang prestasi murid-murid. SBPIS merakamkan jutaan terima kasih kepada ibubapa yang hadir.

Pelancaran Buku Zikir "Perisai Mukmin" BADAR SBPIS

25 Julai 2014 - Pengetua Cemerlang berbesar hati melancarkan buku zikir keluaran Badan Dakwah dan Kerohanian (BADAR) SBPIS berjudul " Perisai Mukmin".


Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri 1435H/2014

 


" Umat Islam seharusnya mengamalkan sikap untuk saling bantu-membantu sesama saudara tidak sahaja pada bulan Ramadhan tetapi juga pada setiap masa....."

Itulah antara amanat Encik Karim bin Bayok; Pengetua Cemerlang SBPIS dalam majlis Penyampaian Sumbangan Eidulfitri kepada pelajar SBPIS pada 25 Julai 2014 di Dewan Gemilang, SBPIS.

Majlis tersebut bagi meraikan pelajar SBPIS yang terdiri dari anak yatim dan fakir miskin bagi menerima sumbangan duit raya. Sumbangan raya tersebut disampaikan sendiri oleh Pengetua SBPIS kepada pelajar yang layak menerima. 




Majlis Khatam Al-Quran & Perasmian Penutupan Ihya' Ramadhan


23 Julai 2014, Rabu, seusai solat Terawih berjemaah warga SBPIS terus menghidupkan Ramadhan dengan Majlis Khatam Al-Quran. Program anjuran Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) turut dihadiri oleh PK HEM, Encik Ramli bin Abdullah dan beberapa orang warden.

Majlis Khatam Al-Quran dan Penutupan Ihya' Ramadhan kali ini dimulakan dengan penyediaan bubur lambuk secara bergotong-royong di kawasan kuarters guru-guru.

Majlis Khatam Al-Quran diadakan di Surau Al-Karim, SBPIS selepas solat terawih. Ia sebagai kemuncak kepada program Tadarrus Al-Quran yang dijalankan dari awal Ramadhan. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat al-Quran dari surah Ad-Dhuha sehinggan surah an-Nas.
Majlis malam tersebut diakhiri dengan jamuan moreh bubur lambuk. Tahniah atas kejayaan penganjuran program tersebut.
                      

Yaumul Mawaddah SBPIS di Ramadhan 1435H / 2014

Program Yaumul Mawaddah yang menjadi aktiviti tradisi tahunan Ihya' Ramadhan bagi warga SBPIS telah diadakan pada 19 Julai 2014, Sabtu. Program ini dimulai dengan amali sembelihan oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 sebelum mereka menyediakan dan membakar lemang. Ayam-ayam yang disembelih telah diproses dan dipanggang pada sebelah malam untuk acara BBQ warga SBPIS.



SBPIS Menerima Kunjungan Kolaborasi SMS Tunku Jaafar

14 - 18 Julai 2014, SBPIS berbesar hati meraikan rakan SBP dari SMS Tunku Jaafar dalam Program Kolaborasi. Program ini melibatkan pertukaran pelajar bagi kelas 5 Benz yang menjurus kepada aliran sains teknikal.


Temuduga Pemilihan Pengawas SBPI Selandar Sesi 2014/2015

17 Julai 2014 – Temuduga pemilihan Pengawas SBPI Selandar yang baru telah diadakan bertempat di Perpustakaan SBPI Selandar. 



KENYATAAN CUTI SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI 1435H / 2014

Bagi kumpulan B (negeri yang cuti hujung minggunya pada Sabtu dan Ahad); cuti akan bermula 26 JULAI 2014 (SABTU) hingga 03 OGOS 2014 (AHAD)

Keterangan cuti adalah seperti berikut :
  • 26 Julai 2014 (Cuti Am)
  • 27 Julai 2014 (Cuti Am)
  • 28 Julai 2014 (Cuti umum - Aidil Fitri)
  • 29 Julai 2014 (Cuti Umum - Aidil Fitri)
  • 30 Julai 2014 (Cuti Peristiwa)
  • 31 Julai 2014 (Cuti Berganti - telah diganti pada 10 Mei 2014)
  • 01 Ogos 2014 (Cuti Berganti - telah diganti pada 5 Julai 2014 bagi SBPIS)
  • 02 Ogos 2014 (Cuti Am)
  • 03 Ogos 2014 (Cuti Am)

                                            

IMAM MUDA ASYRAF - SEMINAR IQRA' IN PERSON TRAINING & CONSULTANCY - DI SBPIS


Kejayaan Panitia Pendidikan Islam dan Unit HEM SBPIS menganjurkan Seminar IQRA' sempena bulan Ramadhan ini amat bermakna dan membanggakan semua pihak. Program yang dimulakan jam 8.30 pagi sehingga 1.00 petang mendapat sambutan dari semua warga sekolah.
          Kedua-dua penceramah yang diundang iaitu Tuan Haji Rohizal bin Haji Kasim yang mengupas tajuk "Strategi Perang Rasulullah" dan "Azam menurut Al-Quran" oleh Imam Muda Asyraf berjaya membawa para pelajar menyingkap formula kejayaan berdasarkan Al-Quran. Diharap program ini dapat menaikkan semangat para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan akademik dan menngkatkan sahsiah diri.

INSENTIF TAWARAN BARU KALI KEEMPAT BUAT SBPIS

 

TAHNIAH diucapkan kepada Pengetua dan semua warga SBPI Selandar atas kejayaan sekolah dalam penerimaan Anugerah Tawaran Baru Pengetua 2013. Keputusan ini adalah berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bayaran Insentif Tawaran Baru KPM. Kejayaan kali ini melakar sejarah buat warga SBPIS kerana telah dianugarahkannya empat kali berturut-turut sejak tahun 2010.
  
          Kejayaan ini membolehkan Pengetua dan semua warga sekolah layak menerima ganjaran bayaran intensif tawaran baru. Namun perkara yang paling penting di sebalik kejayaan ini ialah pengiktirafan tersebut membuktikan kerjasama, komitmen dan dedikasi yang mantap telah diberikan oleh guru-guru, kakitangan sokongan dan semua murid SBPIS. Semoga Kejayaan ini menjadi peransang dan pembakar semangat untuk terus berjuang berkhidmat untuk negara dan memajukan sekolah.

   

  
       

LENCANA WIRA TIMSS UNTUK WARGA SBPIS

 
TIMSS adalah singkatan kepada Trends In International Mathematics and Science Study yang diadakan bagi mengkaji penguasaan pelajar antarabangsa dalam subjek Matematik dan Sains sahaja. SBPI Selandar yang dipilih sebagai perintis Melaka untuk melaksanakan program TIMSS bagi meletakkan penarafan tertinggi mata pelajaran Sains dan Matematik Malaysia di persada antarabangsa. Sehubungan itu, SBPIS telah menganugerahkan lencana "Wira TIMSS" kepada pelajar-pelajar sebagai penghargaan terhadap prestasi mereka dalam ujian TIMSS. Majlis yang disempurnakan oleh tuan pengetua, Encik Karim bin Bayok ini diadakan pada 1Julai 2014 di Perhimpunan Rasmi SBPIS. TIMSS di SBPIS yang dikelolai oleh Cik Nor Malita binti Mukhtar bagi mata pelajaran Sains serta Pn. Mastura dan Pn. Sarah bagi mata pelajaran Matematik akan berjaya menjayakan program anjakan KPM ini.